Tan Sri
Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary merupakan seorang ahli perniagaan dan
usahawan Melayu yang terkaya di Malaysia. Menurut Forbes beliau mempunyai harta
bernilai AS$1.7 billion pada 2010 seterusnya menjadi orang kelapan terkaya di
Malaysia pada 2010.
Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1951
Beliau memulakan perniagaannya sebagai seorang pengusaha daging pada tahun
1970.
Beliau yang juga merupakan pemilik Yayasan
al-Bukhary terlibat dalam perniagaan berasaskan perladangan, pembinaan,
kejuruteraan, infrastruktur dan pelabuhan.
Pada tahun 80-an, Syed Mokhtar telah beralih ke
bidang pengangkutan yang telah membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang
antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia.
Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an
di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang
amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang
manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor
menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar.
Tidak lama kemudian, Syed Mokhtar telah mengasaskan
Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian
Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja
amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri Kedah dan Perak.
Syed Mokhtar juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International
Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro
Elektrik Bakun. Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa
buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC),
PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Seaport Terminal Johor Sdn.
Bhd., Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan
banyak lagi.
MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan
berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion
sebelum ianya dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Syed
Mokhtar juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan
Terbang Antarabangsa Senai, Johor.
Latarbelakang Ringkas Syed Mokhtar
- Tahun lahir : 1951
- Pendidikan: SPM
- Mula berniaga: umur 19 tahun (jual beli lembu dan
kerbau)
- Kekayaan: AS$1,700 juta
- Ke 8 terkaya di Malaysia
- Ke 655 terkaya di Dunia (Forbes)
- Antara syarikat miliknya: MMC, Pelabuhan Tg.
Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat
- Kereta: Proton Perdana
- Sumbangan sosial :
Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000
pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk
pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung
Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu
untuk tunaikan haji.
- Bagaimana sumbangan sosialnya bermula?
Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian
elaun (RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang
susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga
menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi
kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan
peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.
Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan
1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari
esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya
mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.
2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa
tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi
masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan
mendampingi orang politik semata-mata.
3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah
biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama
sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun
boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah
ia memakan masa. Tiada jalan singkat.
4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa
yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui
jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.
5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa
Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita
kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila
sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.
6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di
Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya
tiada pilihan lain.
8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak
sabar dan kuat berusaha.
9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang
perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.
10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok
dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita
hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam
berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?
11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada
status; ada masa di atas, ada masa di bawah.
12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena
turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui
kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil
balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin
kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.
13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang
Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang
Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri.
Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah .
14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang
lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah.
Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit
saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan
baik.
15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini.
Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini
sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana
tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil
hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !
16. Saya ada emotional attachment kepada agama,
bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat
dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.
17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya
malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya
tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam.
Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk
maju kita perlu berusaha.
18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang
saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu.
Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang
orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat
keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu
adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai.
Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.
20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan
ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya
perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan
melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.
21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan
lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing.
Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.
22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan
orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar
sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun
tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana
politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).
23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada
saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak
syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak
tahu.
24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10
juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan
mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri.
Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.
25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang.
Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak
meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat.
Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir
bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu
senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.
26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya
ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas.
Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran.
Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan
tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak
dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi
walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat
itu orang lain boleh berkongsi sama.
29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat
anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya
pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh
lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran
yang perlukan bantuan.
30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan
jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf,
beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak
kita sebagai orang Melayu.
31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu
saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya
menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita
tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti
saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh
maju.
34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh
tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan
jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah.
Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.
35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena
masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab.
Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh
naik dan turun.
36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya
biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong
kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh
maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau
saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil
alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.
38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan
disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara
kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan
kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang
bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam
saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak
boleh.
40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang
perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu
(kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan
rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri
sendiri, kena bekerja keras dan fokus.
42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam
diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.
43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial)
semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.
44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat
sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua
ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya
buat.
45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari
dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak
ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus
peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak
boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat
langsung.
47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau
kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh
pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh
pakai.
48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang
lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana
perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri
orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang
membuat hati saya seronok.
49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada
ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan
lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.
Comments
Post a Comment